Selain tidak pernah sunyi dengan kerancakan arus pembangunan, penduduk di kawasan bandar turut menyaksikan tumbuhnya pasar raya hiper ibarat cendawan selepas hujan. " " " " " " " " " " " " "
Fenomena pertumbuhan pasar raya hiper bagaimanapun dilihat mengakibatkan 'sakit kronik' kepada kedai-kedai runcit yang telah wujud sejak sekian lama.
Ada yang berpendapat, kemunculan pasar raya hiper mendatangkan tekanan dan impak yang hebat terhadap industri runcit di negara ini.
Kehadiran pasar raya hiper banyak membantu konsumer. Mereka menyediakan tempat parkir yang luas, percuma, ruang beli-belah yang bersih dan selesa serta harga jauh lebih murah daripada apa yang boleh didapati di kedai runcit.
Semua barang termasuk keperluan harian dan barangan basah seperti sayur, ikan dan ayam ada di jual. Begitu juga dengan pakaian dan produk-produk lain semuanya ada di bawah satu bumbung dan ini menyenangkan serta menjimatkan masa pengguna," kata pengguna Saifuddin Iskandar mengenai pandangannya tentang kehadiran pasar raya hiper.
Revolusi industri runcit
Pasar raya hiper ialah sebuah gudang atau gedung besar yang menggabungkan konsep pasar raya dan gedung harian.
Hasilnya ialah sebuah premis runcit yang sangat besar dan menawarkan pelbagai jenis barangan di bawah satu bumbung termasuk barang runcit dan produk am. Sehubungan itu pasar raya hiper menawarkan apa yang mereka perlukan dalam satu minggu hanya dalam satu perjalanan beli-belah," kata aktivis pengguna Gurmukh Singh.
Menurut Singh industri pasar raya hiper membuka tirai di Malaysia pada 1994 apabila Carrefour membuka premis pertamanya di Subang Jaya, Selangor. Ia diikuti dengan hipermarket Giant Cash & Carry di UEP Subang Jaya. Setahun kemudian, ia mencetus satu revolusi dalam industri runcit di negara ini.
Menurut http://shoppers. bluehyppo. com/hypermarkets .asp sehingga tahun 2003 saja terdapat 22 pasar raya hiper di Semenanjung Malaysia.
Selangor paling banyak dibanjiri pasar raya hiper tetapi beberapa tahun kebelakangan terdapat lebih banyak pasar raya hiper yang baru dibuka serta dalam pembinaan di negeri-negeri Pantai Timur. Walaupun menerima impak dengan kewujudan pasar raya hiper, hayat kedai runcit masih lagi panjang.
Kedai runcit dan juga pasar mini masih ada tempatnya di kalangan konsumer terutama di bandar dan pekan kecil serta kampung.
Impak yang lebih ketara dengan kehadiran pasar raya hiper sebenarnya dirasakan oleh pasar raya. Ini kerana pasar raya hiper dan pasar raya menarik pengguna daripada kumpulan yang sama," kata beliau.
Menurut Singh dalam aspek itu pasar raya menerima tekanan kerana pengguna rata-rata berpendapat bahawa barang yang dijual di pasar raya hiper lebih murah berbanding di pasar raya.
Pengguna di negara ini sensitif pada harga dan ini menyebabkan mereka memilih pasar raya hiper. Bagi kedai runcit, mereka tidak perlu gusar kerana kedai runcit biasanya mempunyai kumpulan pelanggan yang setia."
Bagi Gurmukh Singh, kedai runcit lebih menawarkan khidmat layanan mesra serta peribadi (personalised) seperti mengambil pesanan dan menghantar barang ke rumah. Tuan punya kedai dan juga pembantu lebih ramah kerana mereka mengenali pelanggan.
Di kawasan perumahan, biasanya pelanggan hanya mencari barang yang mereka perlukan pada ketika itu sahaja dan lebih selesa untuk datang pada masa lain bagi membeli barang lain. Mereka lebih selesa mengunjungi kedai runcit dan bukan premis yang lebih besar serta rumit susunannya," kata beliau.
Pelanggan kedai runcit hanya membeli barang dalam jumlah yang kecil setiap hari.
Dengan ini mereka dapat merancang bajet, sebab itu mereka lebih suka berbelanja sikit-sikit sahaja setiap hari. Lainlah kalau ke pasar raya hiper, konsumer akan terlebih belanja."
Pasar raya hiper menggunakan kemudahan kad kredit dan ini secara langsung menggalakkan pengguna berhutang.
Kadang-kadang pelanggan terbeli barang yang mereka tidak perlu disebabkan terdapat bermacam-macam promosi yang diadakan di pasar raya hiper," katanya.
Berhutang
Menurut pendidik Raffar Minhat, pasar raya hiper menjana ekonomi seperti memberi peluang pekerjaan dan juga menggalakkan perkembangan sesuatu kawasan dengan pembinaan infrastruktur baru seperti jalan raya.
Pasar raya hiper juga ditutup lambat pada waktu malam, jadi memang sesuai bagi mereka yang sibuk bekerja pada siang hari. Pasar raya hiper berkembang pesat kerana negara kita mempunyai sistem pasaran runcit yang tidak diperkembangkan, " kata Raffar.
Bagi Raffar, beliau sendiri terbawa-bawa dengan cara berbelanja di pasar raya hiper.
Mula-mula saya hanya mahu dua atau tiga barang. Tetapi kerana tarikan harga yang lebih murah saya pun mula terbeli barang lain yang sebenarnya tidak diperlukan sangat. Akhirnya saya berbelanja lebih daripada bajet yang sepatutnya."
Kepada Raffar, khidmat yang disediakan di kedai runcit, lebih berdedikasi dan lebih mesra. Pekedai runcit dengan rela hatinya menghantar pesanan tong gas oleh pelanggan sama ada ke rumah atau restoran dengan secepat mungkin.
Menurutnya, ada kedai runcit yang menggunakan e-mel untuk menerima pesanan.
Kalau nak dikira harga di kedai runcit bukanlah jauh sangat bezanya daripada apa yang ditawarkan di pasar raya hiper. Bahkan kadangkala ada kedai runcit yang menawarkan harga yang lebih murah.
Layanan mesra seperti ini tidak dapat diberi oleh pasar raya hiper. Oleh itu kedai runcit masih diperlukan oleh pengguna di Malaysia," kata beliau. -Bernama
Monday, January 18, 2010
ARTIKEL : Kedai Runcit Masih Relevan di Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment