ASSALAMUALAIKUM...SELAMAT DATANG KE LAMAN SEKOLAH KEBANGSAAN TANJONG BIDARA, 36800 KAMPONG GAJAH, PERAK


Sunday, August 30, 2009

Merdeka! Merdeka ke 52: Datangnya Penjajah Ke tanah Melayu

Malaysia Yang dikenali sekarang adalah sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31hb. Ogos 1957. Pada waktu itu ianya dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau Federation Of Malaya menurut Perjanjian 1948 di antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan Inggeris. Sebelum perang setelah Inggeris bertapak kuat di negeri-negeri Melayu mereka telah menamakannya Malaya. Sebelum perkataan ‘Malaya’ diperkenalkan negeri-negeri Melayu ini dipanggil dengan nama Semenanjung Tanah Melayu atau Malay Peninsular.

Dalam sudut sejarah dan ilmu alam, Semenanjung Tanah Melayu adalah salah satu negeri-negeri Melayu yang terletak dalam lingkungan gugusan pulau-pulau Melayu. Ianya diperintah dan ditadbir oleh raja-raja serta pembesar-pembesar Melayu.

Penjajah Barat yang pertama datang ke Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Melaka ialah bangsa Portugis. Pada awalnya mereka datang dalam TM 1509 dengan tujuan untuk menjalankan perniagaan di samping menjalin tali persahabatan dengan kerajaan-kerajaan Melayu. Tetapi oleh kerana sikap tamak dan haloba menjadi kemegahan orang-orang barat untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya di negeri-negeri timur maka Portugis telah memerangi Melaka.

Disebabkan kekuatan politik orang-orang Melayu pada waktu itu mulai merosot, kelemahan pentadbirannya amat ketara pada mata peniaga-peniaga dari barat itu.Sebab itu Portugis mengambil kesempatan dengan menggunakan krisis dalanm negeri serta pengkhianatan dari anak-anak negeri dengan hasutan anasir-anasir luar bertambah pula yang tidak berpuashati dengan pemerintah, Portugis telah Berjaya menakluki Melaka pada TM 1511.

Sejak itu bermulalah titik hitam dalam sejarah politik bangsa Melayu bilamana penjajah barat buat pertama kali mencengkam kukunya di negeri-negeri Melayu sekitar alam Melayu ini.

Setelah lebih 150 tahun Portugis memerintah dan menjajah Melaka maka datang pula satu lagi kuasa penjajah barat iaitu Belanda yang tidak kurang rakusnya menjajah negeri-negeri timur. Dengan bantuan Kerajaan Melayu Johor penjajah Belanda dapat mengalahkan Portugis di Melaka dalam TM 1641.

Kemudian setelah beratus-ratus tahun Belanda menjajah bukan sahaja di negeri Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga di seluruh kepulauan Melayu yang lain, di mana dikenali kemudiannya sebagai Indonesia, maka penjajah Inggeris datang dan berjaya mengambil Melaka dari tangan Belanda melalui perjanjian pertukaran wilayah ( seolah-olah negeri-negeri Melayu harta kepunyaan mereka ) pada TM 1824.

Sehingga Inggeris dikalahkan oleh Jepun dalam bulan Disember 1941, semakin bersilih-ganti kuasa –kuasa asing menjajah Semenanjung Tanah Melayu. Bagaimanapun, Inggeris datang semula dalam bulan Ogos 1945 setelah tentera bersekutu berjaya mengalahkan Jepun serta menamatkan Peperangan Dunia Kedua.

Sebelum penjajah barat datang ke Asia Timur ini keseluruhan alam Melayu adalah terdiri dari beberapa kerajaan yang masyhur di zamannya. Dalam abad ke 3 kegemilangan Kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera melangkaui hingga ke Kedah, Kelantan dan Patani. Kemudiannya tegak pula Kerajaan Majapahit dalam abad ke 12 di Jawa dengan rajanya yang mashyur Hayamwuruk dan akitek politiknya Pateh Gadjah Mada.

Di samping itu terdapat juga Kerajaan Pasai yang mengasaskan pemerintahan Islam di rantau ini dalam abad ke 13 dikuti oleh Kerajaan Melayu Melaka. Sebelum itu sudah ada Kerajaan Melayu Kedah atau Langkasuka, Kerajaan Melayu Patani dan beberapa kerajaan kecil yang tidak berpengaruh.

Selepas kejatuhan Melaka masih wujud kerajaan-kerajaan Melayu seperti Kerajaan Melayu Riau Lingga, Kerajaan Melayu Bugis, Kerajaan Bentan, Kerajaan Mataram dan beberapa lagi, namun tidaklah dapat menandingi kehebatan pemerintahan Melaka sebelumnya.

Walaupun antara 1530 – 1640 muncul kerajaan Melayu Acheh untuk mengembalikan semula kegemilangan Kerajaan Melayu di rantau ini, tetapi tidak juga dapat menebus Melaka dari tangan Portugis. Kekuatan Portugis semakin kukuh di Melaka dengan terbinanya Kota Melaka tersergam menghadapi ke pantai.

Di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam ( 1607 – 1636 ) beberapa percubaan telah dibuat oleh Kerajaan Acheh untuk menawan Melaka. Ini membuktikan semangat bangsa Melayu tidak pernah luntur walaupun negaranya terjajah untuk menebus maruah ibu pertiwimya. Bagaimanapun Iskandar Muda dapat menawan negeri-negeri bekas takluk Kerajaan Melayu, Melaka seperti Kedah, Pahang dan Johor. Sedikit sebanyak usaha-usaha Iskandar Muda ini dapat juga melemahkan kedudukan Portugis di Melaka dan membantu kemunculan Kerajaan Melayu Johor.

Dengan kemunculan Kerajaan Melayu Johor ini menguntungkan Belanda yang sudah bertapak di Bangkahulu. Melalui kerjasama Kerajaaan Melayu Johorlah pihak Belanda dapat merampas Melaka dari tangan Portugis dalam TM 1641.

Kedatangan orang-orang barat dan juga orang-orang Cina di negeri-negeri Melayu adalah berkait dengan hubungan perniagaan di samping menjalin tali persahabatan di antara satu kerajaaan dengan kerajaan yang lain.

Dalam buku Sejarah Melayu ada menyebut bagaimana eratnya hubungan Kerajaan Melayu dengan Maharaja Cina. Sejak zaman Parameswara lagi utusan Cina yang diketuai oleh Laksemana Cheng Ho, seorang yang beragama Islam, telah datang ke Melaka dalam TM 1403. Raja Melaka sendiri telah berkunjung ke Negara Cina dalam TM 1414 dalam rangka merapatkan hubungan muhibbah antara kedua kerajaan.

Di zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah pula Maharaja Cina telah mengirimkan seorang puterinya yang bernama Hang Li Po untuk diperisterikan oleh Raja Melaka. Pengiring-pengiring dari utusan Maharaja Cina inilah dikatakan asal usul keturunan Baba di Melaka sekarang ini. Mereka ditempatkan di sebuah bukit di Bandar Melaka yang dikenali sekarang sebagai Bukit Cina.

Bila penjajah Inggeris berjaya mencengkamkan kukunya di negeri-negeri Melayu, bermulalah satu era baru. Inggeris mula membuka negeri ini kepada perusahaan melombong bijih timah dan penanaman pokok getah. Benih-benih getah yang dibawa dari Brazil telah diperkenalkan dengan ditanam secara percubaan di Singapura dan di satu kawasan kediaman kepunyaan Sir Hugh Low di Kuala Kangsar.

Kerana orang-orang Melayu pada peringkat awalnya membuat tentangan hebat ke atas usaha-usaha penjajah Inggeris maka orang-orang Inggeris merasakan kedudukan mereka tidak begitu terjamin, malah keamanan mereka sentiasa terancam. Maka Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London telah mula memikirkan sesuatu langkah perlu diambil supaya mereka boleh kekal menjajah disamping berupaya mengaut kekayaan sebanyak-banyaknya.

Pada awalnya Semenanjung Tanah Melayu adalah di bawah tadbir East India Company sebelum diambil alih oleh Kerajaan Inggeris. Orang-orang Melayu membuat penentangan bukan saja dari segi lahiriah tetapi juga secara psikologi. Saya masih ingat agi orang-orang tua Melayu menggunakan perkataan ‘anjing kompeni’ kepada sesiapa saja orang-orang Melayu yang memasuki anggota polis. Maksudnya, sesiapa juga yang berkerja dengan orang-orang Inggeris dan Kompeni Inggeris pada waktu itu terutamanya sebagai anggota polis, maka akan dicap dengan gelaran ‘ anjing kompeni’. Begitu juga jalanraya-jalanraya yang dibina oleh Inggeris dipanggil dengan nama ‘jalan kompeni’.

Sambungan disini.

No comments:

SAHABAT